Lama benar saya tidak meng-update blog ini. Tahun ini benar-benar menghimpit, sama ada secara fizikal dan masa, mahupun secara batiniyyah dan emosi. Huhu.
Banyak gak benda jadi sepanjang tahun ini. Tapi tak apalah, tunggulah hujung tahun ini saya akan buat recap dan muhasabah, sebagaimana yang biasa saya buat tahun-tahun sebelumnya.
Pun begitu, sepanjang peninggalan saya terhadap blogging ini, tidaklah saya berdiam sahaja. Saya banyak memerhati. Memerhati situasi. Situasi dunia secara materiali nya. Situasi ummah. Situasi negara. Banyak saya sertai perbincangan-perbincangan, membaca blog-blog, berita-berita, artikel2 dan sebagainya. Dan semua itu menjadi input yang terus-terusan mengalir dalam minda saya, membuatkan otak saya berfikir dan berbicara bersendirian.
.
Berfikir Itu Best
Ya, saya memang suka berfikir. Dari dahulu lagi, saya suka berfikir. Apabila melihat sesuatu, saya berfikir. Apabila membaca mengenai sesuatu, saya berfikir. Apabila terdengar akan suatu berita, saya berfikir lagi. Mostly, saya berfikir tentang logic and reasoning. Terutama atas perkara2 yang boleh difikirkan secara logiklah. Adapun bagi perkara-perkara ghaib, saya lebih mementingkan akan authenticity serta validity dalilnya. Maklumlah, benda2 agama ni bukan boleh memandai2 ikut logik. Bak kata Saidina Ali ketika membicarakan mengenai khuf,
Ali R.A. yang telah berkata: “Jikalaulah urusan agama hanya berdasarkan akal semata-mata, nescaya tapak kaki khuf lebih utama untuk disapu daripada atasnya.”. (H.R. Abu Daud, hadis no. 162).
Saya pun suka memikirkan mengenai sikap manusia juga. Memerhatikan, mungkin lebih tepat agaknya. Saya teruja melihat sikap manusia apabila berada di dalam keadaan tertekan. Bagaimana dia akan react? Flight or fight? Paling mengujakan saya, adalah adakah saya boleh determine dia itu akan flight atau fight? Sebagaimana liciknya peserta Survivor yang terbaru ini, iaitu Russel, memanipulasi peserta-peserta lain.
Personaliti manusia. Ada manusia, mempercayai membuta tuli. Ada manusia, suka taksub kepada individu tertentu. Ada manusia taksub kepada ideologi tertentu. Ada manusia yang follow the crowd. Ada manusia yang oppose the crowd. Ada manusia yang cakap tak serupa bikin. Ada manusia yang di public akhlaknya lain, di private akhlaknya lain.
Seribu satu macam sikap dan sifat manusia, sentiasa membuatkan minda saya berjalan. Tidaklah saya berada di tempat yang selayaknya untuk judge sesiapa pun, mahupun saya mengetahui segalanya yang tersurat dan tersirat untuk menghukum. Yang baik tak semestinya baik. Yang betul tak selamanya betul. Sikap dan pendirian manusia, adalah satu complexity yang infinite!
Antara port yang sering saya lepak memerhatikan situasi dan sikap manusia, adalah di forum iluvislam.com. Di forum ini, ada bermacam2 manusia, berbicara mengenai bermacam2 situasi. Probabilities yang ada adalah limitless. Sungguh tak terhabis jika saya ingin mengulas kesemuanya, justeru biarlah saya mula dengan menganalisis satu trend yang dapat saya lihat dengan ketara.
.
Situasi dan Sikap Ummah
Post monolog ini saya bawakan satu isu yang cukup penting dan menarik bagi kita, umat Islam terutamanya. Isu anti-yahudi. Isu teori konspirasi. Isu NWO, illuminati, freemason, protokol of zion, serta pelbagai lagi entiti yang saya generalizekan sebagai entiti pemangkin sensitiviti ummah sekarang ini.
Jika dilihat di iluvislam itu sendiri, tidak kurang banyaknya perbincangan-perbincangan yang mengaitkan entiti ini. Dalam salah satu thread, ditimbulkan isu bahawa sistem pendidikan negara kita sekarang ini adalah sebahagian dari komplot Yahudi dalam usaha menyelewengkan umat Islam dari ajaran Islam sebenar. Dalam isu yang lain, dikatakan 2012 itu satu filem yang dibuat khusus untuk menyebarkan propaganda apa yang dikenali sebagai one-world-government, NWO. Serta pelbagai lagi perbincangan-perbincangan berkaitan.
Teringat saat awal pendedahan saya terhadap entiti2 ini beberapa tahun lalu, saya sendiri turut terbuka mata berhadapan dengan entiti-entiti ini. Malah saya secara peribadinya, turut dan masih memandang positif akan kewujudan entiti-entiti ini, atas kebaikan yang dibawa olehnya. Berapa ramai dah remaja Islam yang tersedar akan situasi umat Islam sekarang, setelah dihujani artikel/video berkaitan. Sudah banyak membuka mata yang selama ini lalai dan leka. Ramai yang mula mencari, erti Islam hakiki, setelah selama ini tenggelam dalam arus Islam Hereditari.
Pun begitu, sesuatu yang beneficial pada awalnya, mula bertukar arus. Seiring dengan berkembangnya pengaruh2 sebegini, umat Islam mula develop satu sikap yang saya tidak berapa senang dengannya. Sikap sering menyalahkan orang lain.
Bak kata user xpendakyah dalam salah satu perbincangan di sana,
1. Sekolah bercampur jantina -> kapel/anak luar nikah -> gejala sosial = agenda yahudi
2. Sekolah sama jantina -> gay/lesbian -> gejala sosial = agenda yahudi
3. TV banyak hiburan -> terkinja-kinja -> tinggal ibadat -> gejala sosial = agenda yahudi
4. Negara tak buat hukum hudud -> bukan negara Islam -> menentang Islam -> kafir = agenda yahudi
5. ‘Makan disuap’ -> jadi malas -> tak dapat perform -> result teruk -> umat Islam ketinggalan = agenda yahudi
6. Meritokrasi -> kejam -> tak dapat perform -> result teruk -> umat Islam ketinggalan = agenda yahudi
Sungguhpun logik yang diberikan mengaitkannya dengan satu entiti “agenda yahudi” tapi hakikatnya itulah yang sedang berlaku. Kita umat Islam sering menuding jari, menyalahkan sesuatu yang lain. Sesuatu yang pada asalnya bertujuan untuk menjadikan berhati-hati, kini menjadi sesuatu yang bertujuan untuk dibenci.
Bencana H1N1 yang melanda, dikaitkan dengan agenda pengurangan manusia NWO. Tahun 2012 yang dikatakan asalnya dari kalendar purba dsb, dikaitkan dengan propaganda mass-terrorism (ketakutan sejagat) oleh NWO. Apabila banyaknya saintis-saintis barat yang membuat penemuan sains berbanding saintis-saintis Muslim, dikatakan sebagai agenda pemisahan sains dan agama oleh Illuminati. Semuanya kita asyik tuding kepada orang lain!
Saya cuba fikir dari segi etiologi (asal usul) sikap ini pula. Kenapa umat Islam mengambil jalan yang mudah, untuk menyalahkan orang lain? Kenapa umat Islam asyik beralasan?
.
Umat Islam Suka Beralasan Dan Menyalahkan!
Mungkin kerana beralasan itu mudah. Mungkin kerana menuding jari itu mudah. Oh aku gagal peperiksaan, disebabkan orang lain pandai. Nak buat camne, dah orang lain lebih pandai. Oh aku taknak hisap rokok, tapi dah member aku ajak. Nak wat camne, dia yang ajak aku hisap rokok, dia lah yang salah. Kalau dia tak ajak aku hisap rokok, aku tak la jadi perokok.
Pada mulanya, saya ingat manusia beralasan terhadap sesama manusia sahaja, sepertimana yang saya bagi contoh gagal peperiksaan atau menghisap rokok di atas. Atas sebab itu, saya menjadi buntu – kepada siapa umat Islam beralasan?
Kalau anak, beralasan kepada ibubapa. Kalau pelajar, beralasan kepada guru. Kalau pekerja, beralasan kepada boss. Tapi kita umat Islam? Dengan siapa kita beralasan sebenarnya? Fikiran saya ter-stuck di situ untuk sementara.
Hinggalah pandangan seterusnya user xpendakyah dalam perbincangan tersebut menyentak saya.
Bagus formula ni. Kalau aku berzina ke atau merogol ke, kat akhirat nanti aku ada alasan yang tak boleh dipersoalkan. Yela, bukan salah aku sebab berzina/merogol, tapi sebab kerajaan tak buat hukum hudud/buat sekolah campur, terpengaruh dengan agenda yahudi. Bila kerajaan tak buat hukum hudud, itula sebab takde roh Islam dalam diri aku. That’s why la aku berzina/merogol.
Cuba kalau kerajaan tak terikut-ikut yahudi. Gerenti aku tak buat benda-benda macam tu. Mesti aku dah jadi mujtahid mutlak time tu.
Ni semua salah yahudi/kerajaan, bukan salah aku.
Saya tersentak. Astaghfirullah. Nauzubillah. Adakah selama ini kita beralasan dengan Allah?
Adakah umat Islam zaman sekarang ini sudah terlalu daif, sehingga kita mula berani beralasan dengan Tuhan? Sudah terlalu lemahkah umat Islam zaman sekarang?
Apa nak jadi ni! Segala kebejatan akidah, ibadah dan akhlak yang terjadi, semuanya disandarkan kepada kaum Yahudi, kepada propaganda NWO, Illuminati, Freemason yang entahkan betul atau tidak! Untuk apa semua ini? Sebagai satu alasan untuk kita kemukakan di hadapan Allah kelak kah? Kenapa tidak disandarkan atas pundak masing-masing?
Cuma sekadar sesuatu yang berlari-lari dalam minda saya. Persoalan-persoalan yang sengaja retorik saya lontarkan, untuk kita semua fikir dan jawab kepada diri kita masing-masing.
Kadang-kadang, saya sendiri juga terfikir – tak jadi syirik ke, percaya benda-benda sebegini? Maksud saya, dengan mempercayai bahawa segala kesulitan dan musibah yang melanda umat ini, adalah angkara pihak-pihak tertentu. Tak jadi syirikkah, apabila mempercayai bahawa agenda-agenda NWO ini benar-benar kuat, dan mampu membinasakan umat Islam di masa akan datang? Tak menjadi syirikkah, apabila meletakkan nasib umat di atas tangan sesuatu organisasi mahupun kaum yang kita sendiri tahu mereka adalah manusia seperti kita?
Syirik ke tidak, wallahua’lam. Cuma sekadar persoalan yang bermain di fikiran, enggan saya memandai-mandai menjawabnya. Maklumlah saya ini bukannya ahli bab-bab agama dan hukum ini.
Namun yang pastinya, saya membulatkan kepercayaan saya berkaitan isu ini, ke atas sepotong ayat alQuran, iaitu dari Surah Ar-Ra’d, ayat 11.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.
Allah telahpun sebut dengan jelas. “sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”. Kita sendiri yang menentukan masa depan ummah kita. Bukan Yahudi. Bukan NWO. Bukan Illuminati, hatta 1001 macam kaum2 lain pun.
Dan segala bencana, musibah yang menimpa kita, biarpun H1N1, biarpun tsunami, biarpun serangan ekonomi, semua itu dikehendaki oleh Allah dan Allah sahaja.
Itu pada pandangan saya lah. Pendirian saya. So far, saya meyakini pendirian saya ini.
.
Pencemaran Akidah?
Penyebab utama permasalahan yang dihadapi umat kini, saya yakin bertitik tolak akibat dari pencemaran akidah yang berlaku. Apabila kita tidak lagi meletakkan 100% kepada Allah. Kita banyak membaca mengenai Islam, tapi kita membaca bukan sebab kita nak kenal Allah, tapi kita membaca sebab takutkan NWO. Kita jadi semakin rajin bekerja, tapi rajin bekerja kita bukan kerana Allah tetapi rajin bekerja kita kerana takut dikalahkan Freemason.
Subtle, tapi besar kesannya. Bak kata akhi Azri Bohari ketika Kem Eksplorasi Minda 2008, dalam slot kompas, mafhumnya:
“Dalam kompas, titik mula penentu destinasi akhir. Jika teralih hatta 0.1 darjah sekalipun, destinasi akhirnya akan lari sejauh berbelas malah beratus kilometer, bergantung kepada jarak perjalanan. Begitu juga dengan niat kita. Jika di awal kita berjuang di jalan Allah pun niat kita tersasar sangat sedikit, walaupun tidak kita sedari pun, di akhirnya perjuangan kita tidak akan selari dengan jalan Allah”
Bagaimana perjuangan saya pula? Ya, walaupun banyak2 saya berfikir pun, semua fikiran saya itu menjadi sia-sia jika tidak saya korelasikan kembali dengan diri saya sendiri. Saya memikirkan, apakah langkah pertama saya. Apakah hala tuju saya. Bagaimana kompas saya?
Antaranya, perancangan mengenai generasi hadapan saya, iaitu anak-anak saya. Saya tahu, sukar melakukan perubahan secara horizontal, namun saya juga sedar bahawa saya mampu mencetuskan perubahan secara vertikal.
Bagi anak-anak saya, saya takkan didik mereka untuk bencikan yahudi, takutkan NWO, musuhi Illuminati dan sebagainya. Sebaliknya saya berazam akan kukuhkan akidah anak-anak saya. Saya tidak mahu mereka membesar sekadar Muslim Warisan. Saya inginkan agar mereka benar-benar faham, akan nilai dan kualiti Islam itu sendiri. Akan saya pastikan benih akidah bercambah kuat, akar jauh menusuk ke dalam hati, membuahkan akhlak dan ibadah yang sahih dan salim.
Dan yang akan saya didik, adalah kebencian terhadap kezaliman. Kebencian terhadap kemungkaran, tidak kiralah sekiranya ia dilakukan oleh barat mahupun muslim. Benci terhadap fitnah. Benci terhadap dusta. Benci terhadap perkara-perkara yang dibenci Allah.
Dengan cara itu, datanglah NWO ke, WHO ke, WWE ke, FIFA ke, UEFA ke, Illuminati ke, Yahudi ke, Akademi Fantasia ke, hatta seribu satu macam ghazwul fikri pun, inshaAllah generasi akan datang mampun menangkisnya.
Dan tentulah, dalam keazaman saya terhadap didikan anak-anak saya tersebut, seharusnya ia bermula dengan diri saya terlebih dahulu. Dan ia bermula sekarang, bukannya di saat saya diijabkabulkan, atau di saat kelahiran anak saya tersebut. Bak kata ayahanda ulama’ Islam terkenal Imam Hanafi, ketika ditanya apa rahsia beliau mendidik anaknya Imam Hanafi sehingga beliau menjadi seorang yang begitu istimewa. Maka jawab ayahanda Imam Hanafi – “Aku mendidik Hanafi 40 tahun sebelum beliau dilahirkan“.
Dari mana ingin saya bermula? Jika difikir-fikir, jika root of all problem adalah pencemaran akidah, tentunya saya perlu bermula dengan pemurnian akidah. Itu azam dan target saya. Memurnikan akidah, iaitu saat dimana sumber akidah itu adalah dari AlQuran dan Hadis, bukannya semata2 dari sains, atau dari teori-teori konspirasi, atau dari bukti-bukti zahiri seperti bayi bertulis ayat Allah dilengan atau sejadah berdiri dsb.
.
Ketakjuban Yang Membahayakan
Ya, ini pun satu masalah umat juga. Saya menjadi terpinga-pinga dan pelik, kenapa umat begitu takjub atas benda-benda yang di luar kebiasaan, seperti bayi bertulis lengan Allah dan sejadah berdiri dsb. Adakah bila ada benda-benda camtu, baru kita nak yakini keagungan Allah? Ada yang mengatakan, peristiwa2 ajaib itu sebagai peringatan Allah kepada umat. Habis, peringatan yang sama telahpun ada di dalam alQuran sejak dari 1400 tahun lampau? Jujur, saya jadi pelik sekejap.
Ah tidak perlu saya ulas panjang mengenai isu ini. Tulisan para agamawan terkenal seperti Ustaz Zaharuddin (Sejadah Berdiri Di Rumah Saya) dan Ustaz Hasrizal (Buta Mata atau Buta Hati), sudah cukup cantik membicarakan mengenainya.
.
Mengikat Sains Dan Agama
Begitu juga apabila ada sesetengah yang menindihkan agama dan sains. Agama dan sains perlu bergerak seiring, itu saya tidak nafikan, namun ianya tidak wajar ditindihkan (overlap). Permasalahan yang boleh timbul, adalah apabila ada sesetengah yang menyandarkan dan mengikat agama dengan sains.
Contohnya, dikatakan diharamkan memakan babi (agama) itu disebabkan babi itu membawa banyak penyakit (sains). Atau dikatakan perlunya solat berjemaah (agama) itu, adalah untuk menyeimbangkan cas-cas positif dan negatif dalam badan (sains).
Kelemahan apabila mengikat agama dan sains, adalah apabila salah satunya runtuh (void) maka yang satu lagi akan turut runtuh! Jika disandarkan agama kepada sains sepertimana contoh babi yang saya berikan di atas, maka adalah logik untuk kita katakan bahawa jika babi itu dimasak sehingga sterile hilang kuman2 dan parasit2, babi akan menjadi halal? Dan adakah jika kita berjaya mencipta suatu alat atau pakaian yang boleh meneutralkan cas-cas badan, maka anjuran solat berjemaah akan gugur?
Tidak sama sekali. Agama sama sekali tidak dibataskan oleh sains. Jauh di sudut hati saya, saya bersetuju perlunya pemisahan antara sains dan agama. Namun bukannya pemisahan total, sebagaimana yang terjadi ketika konflik ketika zaman Enlightment di Eropah suatu masa dahulu. Sebaliknya, seperti yang saya katakan, agama dan sains itu perlu bergerak seiringan, tetapi tidak dependant/bergantungan antara satu sama lain.
Mengaitkan dengan isu pencemaran akidah. Ya, bagi saya itulah salah satu jenis pencemaran akidah, apabila memusatkan niat dan asbab sesuatu ibadah/syariat Islam itu kepada sains. Solat semata2 sebab nak bagi darah mengalir ke urat di kepala. Solat berjemaah sebab nak seimbangkan cas-cas badan. Haram makan daging babi sebab takut dapat penyakit.
Sesungguhnya sains itu hanyalah alat. Berdasarkan sunnatullah. Ianya boleh menjadi bukti keagungan Allah secara umum, namun ianya tidak boleh disandarkan sebagai bukti mutlak.
.
Teori Konspirasi Mencemarkan Akidah?
Begitu juga dengan entiti-entiti yang saya maksudkan di atas. Kewujudan NWO, Illuminati, Freemason dan sebagainya, ditambah dengan propaganda dan dakwaan-dakwaan para conspiracy theorist, bagi saya adalah menyumbang kepada pencemaran akidah. Apabila umat Islam mula berminat untuk belajar agama, tetapi bukan belajar semata-mata kerana Allah, sebaliknya kerana takutkan NWO. Umat Islam mula terbakar semangat untuk memboikot, tapi bukan kerana Allah sebaliknya kerana bencikan Yahudi.
Saya tertanya-tanya apa motif diadakan teori-teori konspirasi tersebut. Sekadar hanya bersandarkan kepada sangkaan, dikatakan antara tujuannya menimbulkan kesedaran kepada ummah. Apakah sudah habis ayat-ayat alquran untuk digunakan sebagai panduan? Apakah sudah habis kisah-kisah dan sirah para nabi dan sahabat, sebagai pencetus motivasi?
Saya secara peribadi melihatnya sebagai satu contoh the end justifies the means. Mungkin untuk satu kebaikan yang lebih besar – kesedaran ummah. Itu saya tidak nafikan, malah saya mengagumi dan memuji kesan positif yang diterima dari fenomena ini.
Namun begitu, adalah amat gusar di hati saya memikirkan kesannya jangka panjang. Niat yang tersasar mungkin sedikit. Cuma sekadar 0.001 darjah. Tidak terasa pun perbezaannya pada langkah yang ditapak. Namun dalam perjalanan ummah yang entahkan bila berakhirnya ini, perbezaan 0.001 darjah itulah penentu dan pembeza nasib umat kita generasi-generasi akan datang.
.
Ke Arah Pemurnian Akidah
Memurnikan akidah bukan usaha yang mudah. Namun setidak-tidaknya, itu yang akan saya tanamkan dalam diri anak-anak saya. Apabila akidah dah murni, maka umat tidak memerlukan kajian sains untuk membuktikan hikmah sesuatu ibadah, sebelum melaksanakannya. Apabila akidah sudah murni, umat Islam tidak perlukan NWO, Illuminati, Freemason dsb untuk menjadi produktif. Apabila akidah sudah murni, tak perlu menunggu kalimah Allah di langit atau pokok rukuk untuk bersujud menghadap ilahi.
Itu sahaja kuncinya. Kembali kepada Islam yang sebenar. Bukannya Islam disebabkan ketakutan kepada entiti-entiti manusiawi atau duniawi. Bukan Islam disebabkan paranoid kepada certain2 faktor yang di luar kuasa kita. Bukan Islam disebabkan sesuatu yang kita nampak secara zahiriah seperti tulisan Allah di awan dsb.
Para sahabat Rasulullah dahulu, mereka tidak memerlukan pun bukti-bukti, teori-teori dan penemuan2 sains untuk mempercayai Islam. Mereka dengar dan mereka taat. Saat Rasulullah kembali dari mi’raj, Abu Bakar tidak perlukan sebarang bukti pun untuk membenarkan kata-kata Nabi. Itu kekuatan iman para sahabat. “Kami dengar dan kami taat”.
Malahan, dengan kedatangan Islam, mereka menjadi lebih berani. Lebih berkeyakinan. Bilal tidak takut disiksa tuannya kerana Islam. Suhaib Ar-Rumi rilek je meninggalkan segala hartanya ketika berhijrah. Mereka tak takutkan kafir quraisy. Sepertimana Musa tidak takutkan para penyihir Firaun, dek kerana keyakinan beliau terhadap Allah. Sepertimana keyakinan Yunus tatkala ditelan Nun.
Tapi umat Islam sekarang? Ramai yang lebih meyakini kewujudan NWO dan takutkan pengaruh mereka, daripada mempercayai alQuran dan takut akan ancaman2 Allah didalamnya! Sungguh ironi sekali!
Pun begitu, saya sama sekali tidaklah menafikan dan menentang usaha para pencetus kebangkitan ummah tersebut. Melihat kepada big picture, alhamdulillah, usaha sedemikian telah membuka mata mereka-mereka yang tidur, lalai dan leka. Namun sekadar membuka mata tidaklah cukup. Pandulah ummah ke atas landasan akidah yang sejati kembali. Hanya dengan akidah yang murni, kita dapat bersatu. Hanya dengan akidah yang murni, 300 orang mampu mengalahkan 1000 orang. Hanya dengan akidah yang murni sahajalah, Islam akan kembali menjadi ustazyatul alam di muka bumi ini.
Oh anda masih membaca? Saya mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kerana sudi membaca post ini. Saya tidak expect pun anda membaca habis post ini. Adapun post ini, sebagaimana tajuknya, hanyalah monolog persendirian. Sekadar ucapan dari mulut ke telinga saya sahaja. Mungkin menjadi peringatan buat diri ini yang tidak maksum, di masa akan datang. Justeru jika anda berjaya menamatkan pembacaan anda ini, saya tidaklah meminta anda menerima bulat-bulat apa yang saya sampaikan. Saya tidaklah juga berhasrat untuk berdebat dan bertelagah dengan mana-mana pihak.
.
Ayuh Berfikir!
Cuma satu yang saya harapkan, daripada anda-anda yang berjaya menghabiskan pembacaan ini, adalah semoga tercetusnya keinginan masing-masing untuk berfikir. Saya tidak meminta anda bersetuju dengan saya, cuma saya meminta anda berfikir. Marilah bersama-sama dengan saya, untuk berfikir. Berfikir mengenai kerelevenan artikel ini terhadap dunia Islam sekarang. Berfikir mengenai kerelevenan artikel ini terhadap diri kita masing-masing.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujah-hujah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur. (Surah Al-Furqan, ayat 50)
No comments:
Post a Comment